
Psssttt…nak tahu tak?
Kajian dari para saintis mendapati bahawa setiap orang akan mengalami kulit kering sekurang-kurangnya sekali seumur hidup (1).
Kulit kering ini didefinisikan sebagai lapisan paling luar kulit kita yang kering, kasar atau bersisik yang kelihatan juga kemerah-merahan, nampak merekah (cracking) dan gatal-gatal di kulit. Selain itu kulit juga akan terasa kurang fleksibel atau kurang anjal dari biasa. Keadaan ini akan menyumbangkan kepada rasa tidak sekata pada permukaan wajah.
Apakah penyebab kepada keadaan ini?
Sebenarnya terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan kulit jadi kering. Bagi mereka yang lebih berusia, proses pembaharuan sel di lapisan paling luar kulit iaitu stratum corneum akan mula berkurangan. Ini boleh menjadikan kulit lebih kasar serta mudah kering. Di samping itu, faktor cuaca yang terlalu sejuk dan kurang lembapan dalam udara turut menyumbang kepada tercetusnya masalah kulit kering. Bagi mereka yang mengalami keadaan kulit kering begini, pencuci muka yang mana yang sesuai digunakan?
Bagi orang berkulit kering, pencuci muka yang sesuai digunakan adalah dari jenis gel atau krim dan elakkan pencuci muka yang berbuih banyak. Gunakanlah pencuci muka yang mempunyai bahan-bahan yang membantu melembabkan kulit seperti shea butter, glycerin, aloe vera dan susu. Paling penting, pencuci muka bagi orang berkulit kering mestilah TIDAK mempunyai bahan-bahan surfactant yang mengeringkan seperti SLS atau SLES serta bebas dari absolute alcohol. Ini kerana bahan-bahan ini boleh menyebabkan kulit kita bertambah kering dan sensitif.
Apa itu SLS?
SLS atau Sodium Lauryl Sulfate merupakan sejenis surfactant anionic. Menurut suatu kajian, ia merupakan surfactant yang boleh memberi kesan iritasi sangat tinggi kepada kulit (2). Malah, penggunaan SLS berterusan boleh membuatkan bacaan pH kulit meningkat lebih tinggi dari keadaan normal iaitu pH dalam lingkungan 5.5 ke 7. Kesannya, ia boleh menjadikan kulit kita lebih nipis dan lebih mudah kehilangan lembapan air. Tambahan lagi, penggunaan produk yang mengandungi bahan SLS yang tinggi boleh menghilangkan minyak semula jadi yang ada pada permukaan kulit. Maka kulit akan lebih mudah mengalami kerosakan di lapisan stratum corneumnya dan hilang seri.
Jadi bagi anda yang berkulit kering, kena elakkan cleanser yang ada bahan seperti SLS ni ye.
Rujukan:
1. Rawlings, A. V. & Matts, P. J. Dry skin and moisturizers. Dermatologic, Cosmeceutic, Cosmet. Dev. Ther. Nov. Approaches 339–372 (2007) doi:10.3109/9780849375903-22.
2. Draelos, Z. D. The science behind skin care: Cleansers. J. Cosmet. Dermatol. 17, 8–14 (2018).