
Apa itu 'skin barrier'? Skin barrier atau dalam Bahasa Malaysia dikenali sebagai lapisan perlindungan kulit. Tahukah anda, kulit yang cantik itu bermula dari skin barrier yang sangat sihat?
Untuk memahami apa itu skin barrier, kita mulakan dengan mengenali dulu lapisan kulit manusia. Seperti yang ditunjukkan dalam Fig. 1 lapisan kulit manusia terdiri daripada beberapa lapisan. Yang penting untuk kita ketahui adalah dermis dan epidermis.
Epidermis adalah lapisan yang membentuk kulit yang dapat kita lihat dengan mata kasar. Dalam epidermis ini juga terdapat beberapa lapisan iaitu Stratum corneum, Granular layer, Spinous layer dan Basal layer seperti ditunjukkan dalam Fig 2. Jadi yang sebenarnya membentuk skin barrier adalah lapisan stratum corneum.
Di bahagian epidermis, terdapat aktiviti yang sangat aktif, di mana sel dan tisu lama akan mati dan diganti dengan sel kulit yang baru. Proses ini sangat menarik! Mahukah anda tahu bagaimana ia terjadi?
Jom kita ikuti bagaimana proses penggantian sel mati dengan sel yang baru:
Ia bermula apabila bahagian paling bawah epidermis iaitu Basal layer menghasilkan basal cell atau keratinocytes. Keratinocytes ini akan bergerak ke Spinous layer dan mula berubah bentuk menjadi sel yang lebih khusus untuk lapisan kulit. Apabila sampai di Granular layer ia akan mengalami perubahan lagi dari segi struktur (bentuk) dan komposisi (kandungan).
Di proses terakhir, Keratinocytes akan menghasilkan beberapa jenis protein dan lipid yang berbeza sebelum menjadi sel matang. Antaranya,
- Keratinocyte akan berubah kepada suatu bentuk yang dinamakan corneocytes (sel yang mengandungi filamen keratin dan air)
- Corneocytes ini juga mengandungi pelbagai jenis humectants (bahan pelembab) dan natural sunscreens yang terhasil dari protein-protein di dalamnya
- Corneocytes disusun secara berlapis-lapis seperti batu-bata dan Corneocytes terikat antara satu sama lain melalui LIPID (lemak).
- Zon corneocytes yang tersusun berlapis-lapis ini dipanggil Stratum corneum.
Stratum corneum inilah lapisan paling luar kulit kita dan terdedah kepada keadaan persekitaran di luar badan. Dan ia juga memainkan peranan paling penting iaitu sebagai PERTAHANAN yang menghalang bahan-bahan pencemaran dari luar dari memasuki dan merosakkan badan kita.
Lapisan stratum corneum menghalang dari 3 jenis serangan iaitu serangan fizikal, serangan mikroorganisma dan serangan kimia seperti yang ditunjukkan dalam Fig 3.
Contoh serangan fizikal adalah sinaran radiasi uv dan kecederaan luaran seperti luka dan parut. Serangan mikroorganisma pula adalah seperti serangan dari bakteria, kulat serta virus. Manakala serangan kimia pula adalah seperti kesan iritasi dari bahan kimia yang sering digunakan untuk menbuang minyak semulajadi dari muka.
Dan satu lagi fungsi PALING PENTING untuk stratum corneum ini adalah menghalang kehilangan air dari kulit. Jika stratum corneum tidak dijaga dengan baik, maka kulit akan mudah kehilangan lembapannya. Ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kulit berlaku.
Anda seorang yang berkulit kering dan sensitif? Anda mungkin adalah salah seorang yang mengalami keadaan stratum corneum tidak sihat. Nanti Dr Anne akan bincangkan lagi bagaimana nak mengenali keadaan stratum corneum yang tidak sihat, apakah puncanya dan bagaimana untuk mengatasi masalah ini dalam post yang akan datang ye.
Video boleh didapati di https://youtu.be/3yGaw2o17gE